MPC pelawa syarikat sertai Program MyReskill IoT

KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Elektrik dan Elektronik (EEPN) mensasarkan 5,000 syarikat daripada beberapa sektor ekonomi terpilih akan mendapat manfaat daripada Program MyReskill IoT yang akan dilancarkan pada 2 September ini.

Program bertemakan ‘Peningkatan Produktiviti melalui Digitalisasi’ bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat daripada pelbagai saiz dan sektor ekonomi yang berkaitan.

Ketua Pengarah MPC, DatukAbdul Latif Abu Seman berkata, penggunaan teknologi yang lebih tinggi dalam syarikat-syarikat pelbagai saiz membuka peluang yang lebih luas untuk memacu pertumbuhan produktiviti negara.

”Melalui program ini, lebih banyak syarikat berpeluang melaksanakan pendigitalan bagi menghasilkan impak digital teknologi yang lebih signifikan terhadap pertumbuhan produktiviti,” tambah beliau.

Menurut Laporan Bank Dunia, peratusan syarikat Malaysia yang menggunakan peralatan dan mesin secara automatik atau dikawal oleh komputer adalah masih rendah.

Sehubungan itu, beliau berkata, penganjuran program MyReskill IoT dilihat tepat pada masanya untuk meningkatkan prestasi produktiviti dengan meningkatkan kadar penggunaan teknologi di kalangan syarikat pelbagai saiz di negara ini.

Antara komponen penting yang diterapkan dalam program ini ialah Aku Janji Penggunaan Digital, yang merupakan inisiatif di bawah Nexus Produktiviti Digital (DPN).

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan ketua organisasi memupuk perubahan minda ke arah prestasi yang lebih cemerlang melalui penggunaan teknologi digital.

Sementara itu, Pengerusi DPN, Datuk Wei Chuan Beng berkata, faedah teknologi kepada produktiviti tidak datang secara automatik.

”Ketua setiap organisasi perlu mengubah pemikiran mereka untuk tidak hanya bertahan sewaktu pandemik ini, tetapi untuk menjadi lebih berdaya saing dengan memanfaatkan digitalisasi,” tambah beliau.

Untuk mendaftar bagi Majlis Pelancaran Program MyReskill IoT, sila layari https://www.eventbrite.sg/e/mpc-myreskill-iot-launching-tickets-167254640131.

Syarikat yang berminat untuk menyertai program ini boleh berhubung dengan pihak sekretariat melalui eepn@mpc.gov.my atau melayari https://wayup.my/retamyreskilliot/ untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

Reference Link : 

MPC pelawa syarikat sertai Program MyReskill IoT