PELANCARAN DIREKTORI ELEKTRONIK PELANCONGAN NEGERI PERLIS RANCAKKAN INDUSTRI PELANCONGAN DAN TINGKATKAN PRODUKTIVITI PENIAGA

28 Januari 2022, Petaling Jaya – E-Direktori Pelancongan Perlis dilancarkan secara rasmi pada 16 November 2021 lalu oleh YB Tuan Azman bin Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. E-direktori ini dibangunkan oleh Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) dengan sokongan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Ibu Pejabat dan MPC Wilayah Utara serta kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis. Ia bertujuan mengumpul semua pengusaha produk dan perkhidmatan pelancongan di Negeri Perlis dalam satu dokumen rujukan dalam talian yang boleh di capai dengan mudah.

E-direktori ini juga merupakan satu platform promosi dan pemasaran produk dan perkhidmatan pelancongan di Negeri Perlis, di mana ia dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan seperti Kod QR dan capaian media sosial pengusaha untuk capaian mudah. Pembangunan e-direktori ini merupakan salah satu inisiatif untuk merancakkan aktiviti pelancongan di Negeri Perlis di samping membantu pemain industri menjana semula pendapatan berikutan pembukaan sempadan negeri. Ia dijangka akan meningkatkan produktiviti sektor pelancongan di Negeri Perlis.

Dalam ucapan pelancaran oleh YB Tuan Azman bin Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, beliau berkata, “Kerajaan Negeri Perlis mengalu-alukan program peningkatan produktiviti oleh MPC, terutamanya yang memaksimakan teknologi dan digitalisasi, selaras dengan Pelan Perlis Digital 2021 – 2025.”

“Pelan lima tahun Perlis Digital bermatlamat untuk membina asas yang kukuh ke arah Negeri Perlis yang berkembang dengan produktif dan berdaya saing. Tujuannya agar rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik apabila Negeri membangun dengan pesat. Agenda ini sejajar dengan rancangan Kerajaan Persekutuan ke arah Negara berpendapatan tinggi dan menyasarkan kemakmuran bersama menjelang 2030.”

“E-Direktori Pelancongan Perlis ini boleh menjadi rujukan lengkap kepada pengusaha-pengusaha pelancongan terutamanya agen-agen pelancong, syarikat penganjuran acara dan aktiviti kembaraan, serta secara langsung pengunjung sendiri untuk mendapat maklumat berkaitan tempat dan aktiviti menarik di Negeri Perlis. Capaian maklumat di hujung jari secara dalam talian juga sesuai dengan slogan negeri Perlis, Perlis Produktif, Perlis Go Digital.

Dato’ Abdul Latif bin Haji Abu Seman, Ketua Pengarah MPC, yang turut sama di Majlis Pelancaran E-Direktori secara maya tersebut berkata, “Direktori Pelancongan Perlis yang boleh dicapai secara dalam talian adalah satu platform promosi yang mudah dan cepat diakses oleh pelancong dan pengguna. E-Direktori ini lebih interaktif di mana ia dilengkapi dengan QR Code, tanda pagar atau hashtag, google business, dan capaian ke media sosial produk dan perkhidmatan pelancongan. Ia juga dibangunkan secara dalam talian di mana maklumatnya boleh dikemaskini dengan mudah dan cepat. Pengumpulan maklumat melalui e-Direktori Pelancongan Perlis ini merupakan antara usaha-usaha ke arah industri pelancongan Perlis yang lebih produktif.”

Majlis yang sama juga menyaksikan pelancaran Program MyReskill IoT peringkat Negeri Perlis yang bertujuan membantu perniagaan tempatan ke arah mencapai sasaran Revolusi Perindustrian Ke-empat – IR4.0 dengan memberi latihan, kemahiran, dan pengetahuan berkaitan “the Internet of Things” – IoT.

Sila layari https://wayup.my/tourism-v2/ bagi mendapatkan e-direktori Pelancongan Perlis.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest